Monday, November 23, 2009

Resepi-resepi Cendawan

SERUNDING CENDAWAN

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg cendawan tiram - potong halus
  • 500 gm bawang merah - mayang
  • 600 ml santan
  • 3 sudu besar kerisik
  • 2 helai daun kunyit
  • 3 helai daun limau purut
  • 4 kiub ikan bilis
  • Garam dan gula

BAHAN KISAR:

  • 5 biji bawang putih
  • 5 biji bawang besar
  • 5 batang serai
  • 3 cm lengkuas
  • 3 cm halia
  • 15 tangkai cili kering

BAHAN REMPAH:

  • 1 sudu besar biji ketumbar
  • 1 sudu besar jintan manis
  • 1 sudu besar jintan putih

CARA MENYEDIAKAN:

- Tumiskan bawang merah yang dimayang sehingga garing. Kemudian masukkan bahan kisar dan tumis sehingga wangi.


- Kemudian tuangkan santan, kerisik, bahan rempah, stok ikan bilis, daun kunyit dan daun limau purut.

- Tambahkan garam dan gula secukup rasa. Kacau sehingga kering dengan menggunakan api kecil.

PESAN SAJI
#Kebiasaannya untuk membuat serunding cendawan ini memakan masa selama 7 jam

AYAM MASAK CENDAWAN ALA CINA

BAHAN-BAHAN:

  • ½ ekor ayam
  • 8 keping cendawan Jeli Hitam / Telinga Kera – direndam ½ jam
  • 1 inci halia – dihiris
  • 1 biji bawang besar – dihiris
  • 6 ulas bawang putih – dicincang
  • 4-5 tangkai cili padi
  • Sedikit kicap lemak manis
  • Sedikit sos tiram
CARA MEMASAK :

- Ayam dibasuh dan dipotong kecil-kecil. Cendawan yang dah lembut ditoskan, buang tangkainya dan dipotong 4 (memanjang).
.
- Panaskan minyak dan tumis halia. Bila dah naik bau (halia dah kekuningan) angkat halia dan buang. Kalau tak buang pun takpe.
.
- Masukkan bawang besar, bawang putih dan cili padi. Tumis sehingga naik bau baru masukkan ayam. Kacau sekejap.
.
- Masukkan kicap dan sos tiram. Kuantiti kicap terpulang. Tak payah letak garam sebab sos tiram dah memang masin. Kalau untuk yang kuat masin, bolehlah letak garam sedikit. Kacau.
.
- Selepas itu, masukkan air secukupnya (dalam 2 cawan biasa).
.
- Bila dah mendidih baru masukkan cendawan. Kecilkan api dan biarkan hingga kuahnya pekat. (biasanya dalam 10 hingga 15 minit). Sedia untuk dihidangkan.


CENDAWAN JELI HITAM MASAK CILI
BAHAN A (ditumbuk atau dikisar)

  • 3 biji cili merah
  • 10-12 tangkai cili padi
  • 2 cm kunyit
  • 2 cm lengkuas
  • 200g Cendawan Jeli Hitam (cendawan Telinga Kera), direndam hingga kembang dan dipotong kecil
  • 500ml santan (dari 1 biji kelapa)
  • 1 keping asam gelugur
  • 80gm ikan talang masin, dihiris nipis
  • 1 helai daun kunyit, dihiris
  • Garam secukup rasa

CARA MEMBUAT :

Satukan cendawan dan santan di dalam periuk. Masukkan asam gelugur, ikan talang, daun kunyit dan bahan kisar. Kacau sekali-sekala hingga mendidih. Masukkan gula dan garam secukup rasa. Kecilkan api dan reneh selama 15 minit. Kemudian angkat dan sajikan.

3 Jenis Cendawan Pemangkin Sistem Imun

Terdapat beberapa jenis cendawan atau fungus yang boleh memberi manfaat kepada kesihatan kepada sesiapa yang mengambilnya. Pada masa ini semakin banyak kajian dan penyelidikan dilakukan terhadap cendawan-cendawan yang telah banyak banyak digunakan oleh orang zaman dahulu untuk memperbaiki kualiti kesihatan mereka. Berikut ialah tiga jenis cendawan atau fungus yang banyak digunakan untuk mempertingkat kualiti kesihatan iaitu Ganoderma, Agaricus dan Cordyceps.


GANODERMA

  • Ganiderma Lucidum juga dikenali dengan nama Lingzhi di kalangan orang Cina ataupun Reishi di kalangan orang Jepun. Cendawan ini banyak digunakan dalam perubatan tradisional orang Jepun dan China. Traditional Chinese Medicine (TCM) contohnya telah menggunakan cendawan ini dalam sistem perubatannya sejak 2000 tahun dahulu untuk meningkatkan tenaga, daya ingatan, memanjangkan umur dan melambatkan kesan penenuaan. Ia adalah sejenis cendawan yang hidup pada kayu yang telah mati. Cendawan ini mempunyai rasa yang pahit dan tidak digunakan di dalam masakan. Walau bagaimanapun, ada juga yang menjadikan ia sebagai teh.
  • Banyak kajian yang telah dijalankan mendapati ganoderma telah menunjukkan keberkesanannya dalam membantu mempertingkat sistem imun apabila seseorang itu semakin berusia. Kajian-kajian ini mendapati penggunaan ganoderma berupaya untuk meningkatkan aliran darah, memperbaiki sistem saraf, meningkatkan peluang untuk sembuh daripada barah, meningkatkan sistem imun dan mempunyai kesan anti oksida yang tinggi.
  • Keupayaan ganoderma untuk membantu merawat barah disebabkan oleh agen anti kanser iaitu polysakarid dan germanium yang terdapat di dalamnya, ia membantu mempertingkatkan dan menyelaras sistem endoktrin yang meningkatkan peredaran darah dan menghapuskan radikal bebas. Mengikut kajian, ia juga boleh mengurangkan kesan toksik yang terhasil daripada sesi kemotreapi dan radioterapi.

AGARICUS

  • Agaricus (Cendawan Butang) ialah cendawan yang berasal daripada Brazil dan ramai penyelidik yang percaya bahawa ia antara cendawan yang sangat menakjubkan yang pernah ditemui. Cendawan ini semakin banyak digunakan sebagai makanan tambahan oleh mereka yang mahu meningkatkan sistem imun mereka dan ia juga mengandungi beta glucan yang tinggi.
  • Beta glucan ialah sejenis polisakarid yang ditemui dalam cendawan yang mempunyai khasiat dari segi kesihatan. Beta glucan diketahui dapat menjadikan sistem imun lebih peka dan seimbang. Kajian-kajian yang dijalankan mendapati ia boleh meningkatkan sistem imun tubuh dan juga sebagai anti kanser. Ia meningkatkan pengeluaran interferon dan interleukin, mengurangkan tekanan darah tinggi, gula di dalam darah, tahap kolesterol dan kesan arterioklorosis, anti radang dan anti alergi.

CORDYCEPS

  • Cordyceps juga dikenali sebagai nama Chinese caterpillar fungus. Ini disebabkan oleh cordyceps adalah jenis parasit yang hidup dan membesar pada larva ulat bulu. Pada zaman dahulu orang cina menganggap cordyceps sebagai serangga yang hidup pada musim sejuk dan bertukar menjadi tumbuhan pada musim panas.
  • Cordyceps telah digunakan sebagai ubatan herba untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Ia dianggap mempunyai keseimbangan di antara Ying dan Yang oleh pengamal perubatan TCM (Traditional Chinese Medicine). Secara tradisinya cordyceps telah digunakan untuk mereka yang mempunyai masalah jantung, pernafasan, membekalkan tenaga dan juga untuk tujuan melengahkan kesan penenuaan.
  • Mengikut kajian, cordyceps meningkatkan peredaran darah ke organ-organ tubuh terutamanya bahagian otak. Cordyceps juga didapati bioleh mempertingkatkan penggunaan oksigen oleh tubuh badan serta membantu mereka yang mempunyai masalah asma dan bronkitis. Ia mengandungi antioksidan yang menghentikan kerosakan selular serta menghalang radang daripada terjadi.
  • Oleh kerana banyak faedah dari segi kesihatan yang diperolehi daripada cordyceps, pada masa kini semakin banyak kajian dan penyelidikan dijalankan untuk mengetahui keberkesannya dalam membendung dan merawat penyakit kronik daripada terjadi terutamanya kanser. Walaupun cendawan mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan, mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan penyakit kronik masih perlu untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit mereka.

Cara Penanaman Cendawan

Langkah Penanaman Cendawan

Cendawan bukan sekadar tumbuhan yang mempunyai kandungan protein, karbohidrat dan serat yang tinggi berbanding sayuran lain, tetapi juga mampu memberi pulangan lumayan jika diusahakan secara komersial. Ada pelbagai jenis cendawan diusahakan oleh penanam cendawan iaitu Cendawan Tiram Kelabu, Tiram Putih, Telinga Kera, Abalone, Ling Zhi, Bunga Kobis, Jarum Emas dan Cendawan Butang yang sentiasa mempunyai pasaran dan penggemar negara ini.

Ketika ini, ramai yang beranggapan proses menanam cendawan amat rumit, tetapi sebenarnya ia mudah serta senang dijaga dan dalam masa tiga bulan hasilnya sudah boleh dikutip. Bahan asas yang digunakan untuk menanam cendawan ialah habuk kayu, dedak padi, kapur pertanian serta benih cendawan.
Pada peringkat permulaan semua bahan ini digaul dengan air sehingga basah untuk menghasilkan medium cendawan. Medium cendawan yang siap diproses tadi dimasukkan di dalam beg plastik dan ditutup dengan menggunakan penutup plastik dan dihentakkan sehingga padat.

Sebelum menutupnya, pastikan span dimasukkan ke dalam penutup untuk menghasilkan blok cendawan dan kemudian disusun di dalam tong dram yang berisi air untuk menjalani proses kukus. Proses ini bertujuan untuk membunuh semua organisma dan kuman yang ada dalam campuran medium cendawan yang disediakan dan selepas dikukus blok cendawan `direhatkan' selama dua hari sebelum menjalankan kerja penyuntikan benih.
Selepas itu, penutup cendawan dibuka menggunakan pencungkil besi yang dipanaskan dan benih akan diisi dengan seseorang itu juga perlu mencatatkan tarikh dan jenis benih cendawan. Blok cendawan yang sudah diisi benih akan disusun di atas rak yang disediakan di rumah cendawan dan rumah itu mestilah berbumbungkan atap nipah atau rumbia serta di bahagian dindingnya pula dipasang jaring hitam. Blok cendawan itu akan diperam kira-kira tiga bulan dan dalam tempoh itu, seseorang pengusaha perlu menyiram air tiga kali sehari pada lantai serta pada badan blok cendawan.

Cendawan memerlukan cahaya yang lemah dan sekata, pertumbuhannya akan terbantut jika terkena sinaran matahari berlebihan dan bagi cendawan yang terkena penyakit perlu diasingkan supaya tidak merebak ke blok cendawan lain.
Selepas kira-kira tiga bulan spora akan terbentuk di dalam blok cendawan dan mengembang memenuhi blok itu. Penutup blok akan dibuka dan cendawan akan mulai tumbuh kira-kira lima hari selepas penutup dibuka. Setiap cendawan perlu dikutip sebelum bahagian tepinya kelihatan berombak dan selepas dikutip blok cendawan perlu ditutup semula dan direhatkan selama 10 hari sebelum dibuka kembali untuk memudahkan proses pembentukan semula spora di dalam blok itu.
.
Sejambak cendawan boleh mencecah 80 gram dan satu blok cendawan boleh dituai hasilnya sehingga enam kali dalam tempoh empat bulan. Selepas itu, hasilnya akan berkurangan dan perlu membuat blok baru. Blok cendawan yang tidak dapat mengeluarkan hasil lagi boleh dihancurkan untuk dijadikan baja kompos dan makanan kambing dengan mencampurkan beberapa jenis bahan lain. Cendawan yang dituai boleh disimpan kira-kira tiga hari dalam peti sejuk.

Teknik Penyediaan Media Cendawan

Selalunya bahan-bahan utama dalam penyediaan cendawan dipanggil media dan tip hari ini ialah tentang teknik penyediaannya. Contoh yang digunakan ialah bagi penanaman Cendawan Tiram Kelabu.
-
BAHAN YANG DIPERLUKAN :

Habuk Kayu,Getah (Jangan gunakan habuk kayu getah yang dirawat)
Dedak Padi / Gandum
Kapur Pertanian (Kalsium Karbonat)

Kadar Campuran Yang Diperlukan
Habuk Kayu Getah : 100
Dedak Padi / Gandum : 10
Kapur Pertanian : 1

-
NOTA

Jangan gunakan habuk kayu getah yang baru dipotong, cari yang warnanya dah kelabu.
Pastikan juga, jangan gunakan habuk kayu yang dirawat kerana dikhuatiri terdapat kandungan bahan kimia didalamnya.
Kelembapan campuran ialah antara 60-65%.
Plastik beg PP bersaiz 0.6'.
Kukus selama 7 jam.
Tempoh sejukkan media adalah selama 2 hari 1 malam. Jangan ada suam pun di media tersebut.
Selepas disuntik, peram ia selama 2 bulan.

Setelah masilium memenuhi beg, hasil akan keluar selepas hari ketiga atau keempat ia dibuka.
Sebaiknya hasil cendawan mesti dalam bentuk bulat dan tidak bergerigis.

Jenis-Jenis Cendawan

Cendawan Tiram Merah Jambu

Cendawan Berangan

Cendawan Jarum Mas

Cendawan Perut Lembu

Cendawan Shiitake

Cendawan Ling Zhi

Cendawan Butang

Cendawan Tiram Kelabu

Pengenalan Mengenai Cendawan


Cendawan ialah sejenis kulat yang tumbuh di atas tanah atau sumber nutriennya. Cendawan yang dikenali ramai ialah cendawan butang(Agaricus bisporus), yang berbatang pendek dan bahagian atasnya berbentuk payung atau cuping. Namun banyak lagi cendawan yang berbentuk lain.

Cendawan turut diiktiraf sebagai herba yang berguna pada manusia. Sesetengahnya tumbuh meliar manakala sesetengah lagi ditanam oleh manusia sebagai makanan serta untuk perubatan. Kajian mendapati cendawan boleh mengurangkan kandungan gula dan menambah insulin di dalam darah, membunuh beberapa jenis virus yang membawa penyakit berjangkit dan turut berperanan sebagai agen mempertahankan badan dari serangan barah. Terdapat juga cendawan yang beracun.

Cendawan boleh digunakan secara segar seperti dimakan sebagai sayur. Selain itu pada masa sekarang kebanyakan cendawan ini telah dijadikan serbuk didalam bentuk kapsul. Ini untuk memudahkan para pengguna kerana cendawan yang segar agak terhad di dalam pasaran.